Monday, August 2, 2010

Segelas Air

Seteguk air suam mengalir membasahi tekakku pada malam yang hening ini, mengimbau sebuah kenangan sepanjang arena karier pendidikan aku. Sekeping foto yang aku terima tengah hari tadi melambai-lambai dibelai angin dari kipas meja di sisiku.

Aku mengamati wajah anak muda di dalamnya. Aku kenal wajah itu. Ya, Fazli. Aku pasti. Aku meneguk saki-baki air di dalam gelas sambil mengelamun seketika menjengah memori yang paling menggamit jiwaku. Masih aku ingat suasana persekitaran sekolah yang sungguh damai dan selesa. Aku cuba putarkan kembali ingatanku berjalan ke sekolah pada pagi hari diiringi dengan kicauan burung yang sungguh merdu diikuti dengan sahutan unggas-unggas rimba. Udara pagi yang nyaman itu, kusedut memenuhi ruang rongga peparu ku.

Keselesaan dan kedamaian ini digugat oleh wajah-wajah kecil murid tahun Dua Kuning yang memenuhi segenap ruang bilik kelas yang berbaur dengan hanyir peluh, hapak serta hamis sisa makanan selepas waktu rehat. Ya, kelas inilah bermulanya nukilan memori ku ini. Aku melangkah masuk ke dalam kelas. Aku rimas dengan keadaan sebegitu, cuaca suam-suam panas ditambah lagi dengan bau peluh menusuk hidungku. Tekakku terasa sedikit loya dan mual. Bayangkanlah waktu selepas rehat, keadaan murid agak sukar dikawal. Tambahan pula, mereka berkejar-kejaran semasa waktu terluang itu. Bunyi sahaja loceng, terus menerkam masuk ke kelas.

Keresahan menyelinap ke setiap ronggaku apabila perlu berhadapan dengan wajah-wajah kecil yang sedikit comot itu. Pipi yang berminyak dan dahi yang melekit dengan lelehan peluh menambahkan lagi rasa geli yang membuatkan bibirku sedikit terjuih keluar sambil menelan air liur.

Seorang murid lelaki dari kelas inilah yang telah menggugat ketenteraman aku. Lasak dan nakal. Inilah Fazli. Nama ini menyumbat setiap ruang rongga benakku, hampir sesak nafasku dibuatnya sewaktu itu.

Fazli seringkali berjaya menaikkan darjah suhu darahku. Kesekian kalinya aku hendak masuk ke kelas tahun Dua Kuning, jantungku pasti berdegup kencang. Fazli sangat gemar mengganggu rakannya tanpa mengira waktu. Rimas aku dibuatnya.

Belum pernah aku berkasar dengan mana-mana murid sebelum ini. Tetapi dengan Fazli, paras kesabaranku seringkali terbabas. Fazli akan hilang dan muncul tanpa disedari. Fazli juga kerap ponteng sekolah. Aku kira, hanya itu yang paling baik ada pada diri Fazli kerana apabila dia ponteng aman damailah kelas tahun Dua Kuning hari itu.

“Anak luar kawalan. Tak pernah diajarkah di rumah? Barangkali sama juga seperti ayah dan ibunya,” hatiku menggumam lalu aku mencebik.

Kenakalan Fazli membuatkan aku dihantui perasaan bimbang yang teramat sangat, takut kalau-kalau aku tidak dapat mengawal kelas sewaktu pemantauan nanti. Sebagai ikhtiar terakhir, aku telah membuat solat sunat hajat selama tiga malam berturut-turut. Aku memohon kehadrat Tuhan agar Fazli tidak hadir pada hari pemantauan nanti.

Hari untuk aku dipantau oleh pensyarahku telah tiba. Perasaan resah dan gelisah kembali menyelubungiku. Dadaku berserabut, bergumpal-gumpal seperti benang yang kusut.

Akupun melangkah masuk ke dalam kelas tahun Dua Kuning. Jantungku berhenti berdegup sebaik sahaja tiba di muka pintu. Tidak ada Fazli.

“Fuh! Leganya. Nasib baik budak nakal tu tak datang,” hatiku berbisik.

Sesi pengajaranku berjalan dengan baik dan lancar. Leganya hatiku. Doaku termakbul.

Keesokkannya, aku melangkah yakin ke kelas Dua Kuning. Dari jauh lagi sudah dapat kudengar bingit jeritan suara-suara kecil. Aku pun memasuki kelas tersebut dengan harapan Fazli masih tidak hadir pada hari itu. Sebaik sahaja aku melangkah ke dalam kelihatan Fazli sedang mengusik seorang murid perempuan hingga menangis.

“Kenapalah kau datang? Kan elok kalau kau ponteng terus,” getus hatiku.

Murid-murid lain terus mengerumuni aku, menarik-narik hujung bajuku lalu mengadu itu dan ini tentang Fazli. Aku menjadi rimas dan darahku mula terasa panas. Telingaku disogok dengan aduan itu dan ini tentang Fazli.

“Teacher, tengoklah Fazli ni. Dia tarik rambut saya,” jerit Aliya menunjukkan rambutnya yang kerinting.

“Fazli ambil sharpener saya, “ rengek Izat yang berbadan montel dan sedikit manja itu.

“Ish, lagi-lagi Fazli. Tak ada nama lain kah?” jerit hatiku.

“Fazli, awak nak kena rotan?” sergahku sambil mengangkat bulu ayam yang bersebelahan dengan papan hitam.

Aku memberikan amaran kepada Fazli sambil cuba mendekatinya. Dia berlari mengelilingi kelas. Aku jadi seperti main kejar-kejar dengannya. Apabila aku ke belakang, dia akan berlari ke hadapan. Bila ku ke hadapan dia akan berlari ke belakang. Tiba-tiba aku terasa bodoh dan dipermain-mainkan. Ditambahkan lagi dengan murid-murid lain yang ketawa dan bersorak-sorak. Kemarahanku sudah tidak dapat dibendung. Kelas telah menjadi kecoh, bising dan tidak terkawal.

Telingaku terasa panas. Darahku menggelegak meluap-luap seperti gunung berapi yang hanya menunggu saat untuk memuntahkan laharnya. Aku tidak lagi dapat membendung kemarahanku. Aku “naik angin” terus menengking Fazli dan murid-murid lain dengan nada suara yang tinggi.

“Fazli! Go back to your seat! The others, sit down and be quiet!” tingkahku dengan nada yang tinggi dan keras bak halilintar membelah bumi.

Fazli mengulangi kata-kataku tadi dengan nada mengejek-ngejek. Ya Tuhan, geramnya tak terkira. Urat-urat darahku terasa tegang seperti mahu putus. Terasa seperti ingin kutelan budak ini hidup-hidup.

“Fazli!” jeritku lagi bersahutan dengan batuk-batuk kecil sambil berdehem.

Terlalu kuat jeritanku, hinggakan aku terus terbatuk-batuk tanpa henti. Pada masa itulah Fazli telah mengambil kesempatan berlari keluar dari kelas. Tidak sempat aku menahannya. Aku menjadi bertambah geram. Tetapi batukku tidak berhenti-henti. Perit kerongkongku dan sakit dadaku menahan batuk. Geramku semakin menggila.

Sudahlah geram, batuk pula menjadi-jadi. Pedih dadaku menahan batuk. Sakit hati aku menahan geram. Murid-murid lain terdiam seketika

Tiba-tiba Fazli muncul kembali di muka pintu. Merah padam muka aku ketika itu menahan batuk bercampurkan geram. Aku mengurut dadaku berkali-kali.

“Hah! Ke mana kamu?” sergahku kepada Fazli dengan nada suara kegeraman sambil pinggang ku cekak. Seperti ayam hendak bersabung lagaknya.

“Ke kantin, teacher,” jawabnya selamba.

“Buat apa? Sekarang bukannya waktu rehat!” tengkingku terbatuk-batuk lagi sambil menjegilkan biji mata seluas-luasnya.

“Kenapa diam, hah? Jawablah! Ingat ni sekolah bapa kamu, boleh buat ikut suka hati?” tengking aku lagi. “Mak kamu tak ajarkah di rumah?” leteranku bertalu-talu.

Geramku sudah sampai ke kemuncaknya. Aku lalu menghulurkan tangan untuk memulas telinganya. Sudah hilang batas-batas kesabaranku. Belum sempat tanganku singgah ke telinganya, dia bersuara.

“Sa... saya ambil air suam untuk teacher. Kan...tadi teacher batuk.” terang Fazli dengan suara yang tersekat-sekat sambil menghulurkan aku segelas air suam.

Tersentak dan tersedak aku. Tidak tahu apa yang patut aku jawab atau lakukan. Tergamam aku buat seketika. Aku terus terduduk di atas kerusi kosong yang berhampiran. Tangan yang tadinya kuhulur untuk memulas telinganya, aku gunakan untuk menyambut gelas air suam itu darinya dengan perasaan yang sungguh terharu.

“Kasihan saya tengok teacher batuk,” sahut Fazli. “Mak selalu suruh saya ambilkan air suam bila dia batuk. Mak selalu batuk-batuk macam teacher,” sambung Fazli tanpa dipinta.

“Mak kata air suam baik untuk sakit kerongkong. Hari tu kan, mak batuk sampai keluar darah,” Fazli meneruskan ceritanya tanpa memberikan aku peluang bersuara. Jelas kelihatan kelopak matanya itu, berkaca digenangi air mata. Aku merenung riak wajahnya, keihklasan jelas terukir di sebalik gurisan-gurisan comot di pipi kecil itu.

Hatiku tiba-tiba menangis dan hampir menitis air mataku terlalu sebak perasaanku ketika itu. Alangkah murni dan ikhlasnya jiwa anak kecil ini. Walaupun dia masih kecil tapi sikapnya yang begitu prihatin menyentuh jiwaku. Luhurnya hati anak di hadapanku ini. Aku menjadi serba-salah. Darahku yang tadinya mendidih dan meluap-luap serta-merta bertukar sejuk. Malah urat darahku yang tadinya keras berpintal seperti dawai, terasa seperti melebur berjuraian ke lantai.

“Teacher jangan jerit lagi, ya. Saya takut nanti teacher batuk sampai keluar darah macam mak. Saya sayang mak. Saya tak mau mak mati. Saya sayang teacher juga,” kata Fazli lagi sambil merenung sedih tepat ke mataku.

Bermacam-macam perasaan yang bermain di benakku ketika itu. Terharu, hiba, sayu, menyesal dan malu bercampur-baur. Masakan anak yang baru tadinya sangat nakal ingin ku pulas telinganya, telah menunjukkan sikap yang sama sekali berbeza begitu mengambil berat dan penuh rasa kasih sayang.

Salahkah aku, atau selama ini persepsiku aku telah tersasar? Perlahan aku meneguk air suam tersebut bersama seribu kekeliruan apa yang patut aku rasa. Perit tekak ku yang tadinya tidak tertahan, terus menghilang entah ke mana. Aku kebingungan dan terdiam seribu bahasa.

“Terima kasih, Fazli”, hanya itu ayat yang mampu tersembul dari bibirku.

Aku kemudiannya menagih cerita daripada Puan Zariah, Penolong Kanan HEM yang mengenalinya dengan dekat. Menurut Puan Zariah, ibu Fazli tela lama mengidap penyakit kanser paru-paru. Itu yang membuatkannya sering batuk-batuk. Ayahnya pula telah menghilangkan diri meninggalkan ibunya yang sedang sakit. Sekarang tinggal mereka berdua sahaja di rumah. Bila ibunya sakit kuat, Fazli yang akan menjaga ibunya. Sebab itulah dia kerap ponteng sekolah.

Barulah aku faham situasi yang sebenar. Malam itu sewaktu hendak tidur, aku menangis sepuas-puasnya kerana terlalu hiba dan terharu. Lewat malamnya aku bangun bersolat hajat. Tetapi kali ini doaku sedikit berbeza.

“Ya Allah ya Tuhanku. Engkau peliharalah anak didikku yang satu ini. Jadikanlah dia seorang anak yang soleh, berakhlak mulia dan bertakwa kepada Mu. Kurniakanlah kepadanya kejayaan yang cemerlang di dalam hidup di dunia dan akhirat. Kau berikanlah aku ketabahan dan berkatilah segala ilmu yang bakal kucurahkan kepada anak-anak didikku. Amin ya Robbal a’lamin.” Kali ini aku benar-benar berharap agar doaku termakbul.

Anak-anak didik ku hanyalah manusia kecil yang tidak berdosa. Mereka bak kain putih yang menanti untuk dicorakkan. Aku berjanji akan mendidik dan membimbing mereka agar suatu hari kelak mereka akan menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sekeping foto yang mengukir wajah manis seorang anak muda berjubah menggenggam segulung ijazah, kurenung sepuas-puasnya. Di belakangnya tercatat:

“Terima kasih teacher. Budi teacher tidak dapat saya balas dengan wang ringgit. Hanya ini yang dapat saya abadikan buat teacher. Happy Teacher’s Day,”

“Teacherlah yang sepatutnya berterima kasih kapada kamu. Kamu yang mengajar teacher erti seorang pendidik yang sebenarnya. Fazli, kamu sudah berjaya sekarang.” Doaku telah termakbul. Alhamdulillah. Inilah hadiah Hari Guru yang paling berharga buatku dan segelas air suam yang telah mengubah segalanya. Terima kasih Fazli.

Senang


Senang...
Bila kulihat wajahmu,
Di sebalik lirik senyum seribu erti,
Di celah garis bibir menguntum seri,
Merona lakaran cahaya pelangi.

Senang...
Bila kau dekat denganku,
Menatap kerdipan matamu,
Membayang kerinduan yang bertamu,
Pada sinar renungan yang membisu.

Senang...
Bila degupan bertaut resah,
Dan debaran mengetuk jiwa,
Menyelinap segenap ruang rasa,
Menambat gelisah di dada.

Senang...
Tiap waktu kita bersama,
Mengalun kasih, melodi cinta,
Selaut madah ku layarkan damba,
Selangit bintang ku potretkan sayang.

Senang...
Bila kau di pelukan ku,
Segunung hasrat tak bisa terlerai,
Ikatan kasih, sayang dan cinta,
Kian bersemi dulu, kini dan selamanya..

Mustiqa Dewy : Mac 2010

Sunday, August 1, 2010

Sungai Mengalir Di pohon Nan Rendang


Pohon,
Rendangmu menawar teduh,
Pada saat gundah nan luluh,
Melambai damai tanpa mengeluh,
Penenang tika duka menyentuh,
Tatkala titis gerimis pun mencemuh...

Sungai,
Riakmu mengalir mempesona,
Tiap liuk arusmu merona,
Membuai kelikir terus terlena
Mengalun tebing leka terpana,
Mendendang nada kencana,
Menyusur aur menyisip pawana...

Pohon,
Yang rendang dahanmu,
Tanpa leka, tanpa jemu,
Bila resah pun bertamu,
Tenteram pun mengusik rindu,
Damai pun berlagu syahdu
Meniup kasih, menghibur kalbu...

Sungai,
Yang mengalir riak ceria,
Bergemilau indah meruntun jiwa,
Mengalpa penyair hilang bicara,
Mengundang bayu memuput rasa,
Mengalun cinta tanpa suara...

Suami dan Isteri,
Ibarat Pohon dan Sungai,
Saling membuai, saling mendamai,
Tiada duanya tidakkan terlerai,
Segala kasih pasti tersemai,
Bila syair berlagu, rindu mengintai,
Lalu puisi cinta pun terungkai
Mendendang irama bahagia terurai...


Mustiqa Dewy: Mei 1998